Rabu, 27 Ogos 2008

Resepi Asas Mencari Idea Bagi Menghasilkan Produk Maklumat Yang Laku Macam Goreng Pisang Panas

Seperti juga di dalam masakan, untuk menghasilkan produk maklumat yang laris dan menjana wang lumayan anda harus mempunyai resepi-resepi tertentu supaya apa yang akan anda jalankan dan lakukan akan menghasilkan keputusan yang menggembirakan anda kelak. Untuk menghasilkan satu produk maklumat yang mampu menjana keuntungan adalah mengeluarkan produk yang berkualiti. Berkualiti di sini bermaksud informasi yang terkandung di dalamnya adalah yang berkualiti. Tanpa produk yang berkualiti maka ia akan mencacatkan perniagaan anda. Untuk itu mari kita lihat apakah resepi-resepi asas tersebut:



Resepi #1 – Keluarkan Produk Maklumat Atas Apa Yang Anda Tahu Mengenainya.



Jika anda ingin mengeluarkan produk maklumat anda sendiri, ia bukanlah satu idea yang bernas jika memilih tema produk hanya kerana anda berfikir bahawa tema tersebut akan menyebabkan produk maklumat anda laris. Selalunya ia akan menjadi idea yang menarik untuk memilih tema atau subjek dimana anda mempunyai minat yang mendalam, pengetahuan, pemahaman, kemahiran atau kepakaran tentang tema atau subjek yang akan anda keluarkan. Barulah anda akan mengeluarkan satu produk yang mempunyai nilai nyata yang tinggi.
Dalam setiap produk maklumat yang anda ada harus mampu memberi faedah-faedah nyata kepada pembaca. Berikan sesuatu apa yang pembaca perlukan dan inginkan. Jadikan diri anda sebagai sebahagian dari pengguna, berfikiran seperti pengguna, bertindak seperti pengguna dan barulah anda akan faham apa yang pengguna mahukan.



Resepi #2 – Produk Maklumat Anda Sebagai Penyelesaian Kepada Masalah



Ramai orang ingin lari dari masalah. Mungkin anda pernah mendengar kata-kata ini “Masalah tak kan selesai jika kita lari darinya…” Ini memang kenyataan yang betul. Bermula dari hari ini anda harus bukan sahaja tidak lari dari maslah tetapi anda mengejar masalah (menjadi pemburu masalah he he he). Pelik bunyi nya kan.



Seperti sistem yang saya perkenalkan ini… ianya bermula dengan masalah yang saya hadapi dengan kewangan saya dan bagaimana dengan cara mudah saya mampu menjana wang saya, maka terhasillah Sistem Rahsia Wang Mudah. Malah sistem ini terhasil atau terilham bukan setakat atas masalah saya sendiri tetapi masalah yang saya fikirkan dimana ianya turut dihadapi oleh ramai orang lain termasuk diri anda.



Contohnya katakan anda mempunyai hobi memasak. Jika ada waktu lapang anda akan memasak dan jika anda dapat memasak untuk keluarga atau orang tersayang ia menjadi satu kebanggan pada anda. Namun anda seorang yang sentiasa sibuk dengan kerja atau pun aktiviti harian anda. Masa memasak menjadi satu halangan pada anda. Jadi masalah anda untuk melakukan apa yang anda minat adalah masa yang terhad akibat kesibukan.



Di sini anda perlu mencari penyelesaian dengan mencari satu kaedah mudah bagaimana anda boleh memasak dalam satu jangka waktu yang singkat. Oleh itu anda harus melakukan kajian. Mungkin atas dari kajian anda tersebut maka akan terhasillah satu produk maklumat “Cara Mudah Memasak Makanan Malam Bagi Orang Sibuk – 10 Minit Siap”. Sediakan satu proses penyelesaian atas setiap maslah langkah demi langkah.



Resepi #3 – Mempunyai Skop Sasaran Pembaca Yang Spesifik



“Cara Paling Mudah Memasak”
“Cara Paling Mudah Memasak Makanan Malam”
“Cara Paling Mudah Memasak Makanan Malam Bagi Orang Sibuk”
“Cara Mudah Memasak Makanan Malam Bagi Eksekutif Wanita Yang Sibuk”




Jika anda lihat keempat-empat tajuk di atas pada dasarnya menyampaikan mesej dasar yang sama iaitu cara mudah memasak. Apa yang anda lihat pada turutan 1 hingga 4? Nombor dua skopnya lebih spesifik dari nombor 1, nombor 3 lebih spesifik dari nombor 2 dan nombor 4 lebih spesifik dari nombor 3.


Anda harus menghasilkan satu produk yang betul-betul spesifik dari segi tema serta segmen kelompok sasaran pembaca anda. Dengan cara ini penulisan anda juga akan lebih spesifik dan jika anda mengeluarkan tema yang umum ianya seperti cuba mengejar sekumpulan ayam tanpa mensasarkan ayam yang mana satu untuk ditangkap.


Resepi #4 - Mempunyai Skop Sasaran Pembaca Yang Ideal

Sebelum anda mula untuk mengeluarkan produk maklumat anda, anda harus tahu siapakah pembaca ideal anda. Ini kerana ianya juga mempunyai kaitan dengan perbincangan yang telah kita bincangkan dalam Resepi #3. Jadi siapakah pembaca ideal anda ini? Di bawah adalah tiga ciri pembaca ideal anda.


-Mereka mahu membaca dan memiliki produk anda
-Mereka berkemampuan untuk memiliki produk anda
-Mereka mempunyai kuasa membeli produk anda.

Lebih baik menumpukan jualan pada mana memberikan keuntungan yang lebih pada anda dengan ini anda tidak membazirkan masa, tenaga serta kos bagi memasarkan pada segmen pelanggan yang tidak memberi keuntungan pada anda.

Sebagai contoh anda mungkin akan dapati 80% pembeli komputer peribadi yang ingin menggunakannya di rumah adalah ibubapa yang mahu anak mereka belajar menggunakan komputer tersebut. Dan jika anda dapati segmen atau kelompok tersebut menjana dua kali lebih dari segmen atau kelompok pembeli yang lain maka anda harus fokuskan pada segmen atau kelompok ibubapa ini. Seperti produk ini juga saya mensasarkan pada mereka yang ingin menjana wang tambahan secara sambilan.

Resepi #5 - Gunakan ilmu, kemahiran atau kepandaian anda sendiri.

Katakan anda mempunyai rahsia bagaimana untuk memasak nasi beriani yang anda pernah belajar dari nenek atau ibubapa anda sewaktu dahulu. Apa yang perlu anda lakukan adalah senaraikan langkah demi langkah secara terperinci bagaimana untuk memasak nasi beriani tersebut. Kembangkan setiap langkah dengan menjadikannya samada satu perenggan untuk setiap langkah atau mungkin satu muka surat. Dari penyediaan bahan hinggalah ke proses memasak.

Apabila anda telah siap melakukannya kini - anda telah memperolehi satu produk panduan bagaimana memasak nasi beriani mengikut cara anda. Anda juga boleh meletakkan gambar-gambar untuk setiap proses atau langkah demi langkah penyediaan. Jika anda mampu anda boleh keluarkan produk maklumat anda tersebut dalam bentuk VCD @ DVD langkah demi langkah penyediaan resepi rahsia anda tersebut. Apabila telah siap produk maklumat anda tersebut anda boleh memberikan tajuk pada produk anda contohnya “Resepi Rahsia Keluarga Turun-Temurun Nasi Beriani Nenek Siti DiBongkar”.

Jika anda seorang guru anda boleh mengeluarkan produk-produk maklumat tentang teknik pembelajaran, latihan tubi dan sebagainya. Jika anda seorang ahli sukan anda boleh menghasilkan teknik-teknik betul untuk bersukan, jika anda ahli perniagaan anda boleh hasilkan panduan-panduan perniagaan.

Tidak kisahlah apa sahaja sistem yang anda ada dan mempraktikkannya dan hasil dari kejayaan sistem tersebut anda olahkan dalam bentuk maklumat. Jenamakan sistem anda tersebut dan anda boleh menjual sistem tersebut kepada masyarakat. Jadi gunakanlah kelebihan yang ada pada anda untuk ditukarkan menjadi produk maklumat yang mampu menjana wang anda.

Resepi #6 - Gunakan idea, pengalaman, ilmu, kepandaian dan kemahiran orang lain.

Anda harus gunakan kelebihan yang terdapat pada orang lain untuk dijadikan kelebihan diri anda. Jika anda lihat sistem yang digunakan oleh Kentucky Fried Chicken telah digunakan oleh Mc Donald, A&W, Burger King dan lain-lain. Cuma sedikit perubahan dilakukan ke atas sistem perniagaan tersebut untuk membezakannya dari Kentucky Fried Chicken dan pesaing2 lain.
Begitu juga dengan Pepsi yang sering mengekori Coca-Cola dalam sistem perniagaan produknya dan pepsi telah mengolah sedikit pendekatan pemasaran bagi membezakannya dengan Coca-Cola walaupun pada asasnya produk yang dikeluarkan adalah hampir serupa.

Inilah antara perkara yang saya gunakan bagi mengeluarkan produk maklumat saya. Apa yang saya lakukan saya akan membuat sedikit kajian dahulu : Siapa sasaran pelanggan saya? Apa masalah-masalah mereka? Apa yang mereka perlukan? Apa yang mampu membuat mereka gembira dan bersemangat? Apa yang boleh dilakukan bagi memudahkan mereka.
Jadi saya senaraikan jawapan bagi persoalan-persolan tersebut dan diantara senarai-senarai tersebut penjanaan wang merupakan antara yang diperlukan oleh masyarakat terutamanya bagi mereka yang ingin menjana wang sampingan.

Langkah seterusnya saya akan mencari bahan tulisan. Saya akan membaca buku2 yang berkaitan dengan sistem penjanaan wang yang boleh saya baca samada dari buku yang saya beli atau saya mendapatkannya dari perpustakaan. Saya juga menyimpan artikel2 yang saya perolehi dari majalah2, surat khabar serta internet dan saya jadikan sebagai rujukan.
Dari situ saya akan melihat sistem-sistem yang ada dan cuba memberi kombinasi diantara system-sistem yang terdapat dari bahan bacaan tersebut – saya olahkan dengan menyuntik idea-idea baru samada saya perolehi dari orang lain atau dari idea saya sendiri. Olahan sistem penjanaan wang tersebut saya praktikkan dan keberhasilannya saya jenamakan menjadi jenama saya sendiri. Jadi Sistem Rahsia Wang Mudah ciptaan saya ini bukanlah satu idea yang betul-betul asli. Ia adalah kombinasi idea2 perniagaan yang saya perolehi dari jutawan2 yang telah berjaya dengan diberi pendekatan yang berlainan supaya tidak kelihatan menciplak 100% apa yang mereka keluarkan.

Dengan cara ini anda tidak perlu memerah otak bagi mendapatkan bahan untuk produk maklumat anda kerana maklumatnya telah tersedia ada cuma memrlukan sedikit olahan atau penambahbaikkan bagi sistem tersebut. Ana juga boleh menggunakan Sistem Rahsia Wang Mudah ini dan olahkan sedikit untuk menjadikannnya sebagai system anda sendiri.

Resepi #7 - Gunakan ilmu, kemahiran atau kepandaian anda sendiri dan diberi penambah baikan dari kelebihan orang lain.

Anda mungkin mempunyai sedikit ilmu atau kepandaian serta minat dalam satu-satu perkara namun mungkin maklumat yang ada pada anda tidak memadai untuk menghasilkan satu produk maklumat yang bernilai tinggi.

Katakan anda meminati seni mempertahankan diri dan anda baru sahaja belajar atau baru sahaja mendapat talipinggang putih. Sebenarnya anda mampu mengeluarkan satu produk maklumat seni mempertahankan diri walaupun anda belum menjadi seorang yang pakar dalam seni tersebut.

Dalam hal begini anda perlu menjana fikiran yang terbuka. Dapatkan segala maklumat tentang seni mempertahankan diri dari pelbagai aliran. Anda boleh memperolehinya dari majalah-majalah, CD (cakera padat) atau anda boleh menemuramah pelajar-pelajar senior atau mungkin tok guru anda sendiri tentang seni mempertahankan diri mereka.

Disini anda jangan menjadi keliru dengan teknik-teknik yang berbagai jenis, fahaman dan falsafah yang terdapat padanya. Anda perlu memilih teknik-teknik yang anda fikir mudah untuk anda gunakan dan fahami. Cuba praktikkan dan olahkan mengikut pendekatan anda sendiri.
Anda boleh keluarkan produk seperti “20 Cara Mudah Memperthankan Diri Untuk Wanita” , “Cara Mudah Wanita Boleh Mempertahankan Diri Dari Peragut Durjana” , “Belajar Cara Mudah Mempertahankan Diri Dalam Masa 2 Minggu” dan banyak lagi. Cuba beri satu pendekatan yang mudah supaya siapa saja termasuk mereka yang tidak pernah belajar seni mempertahankan diri boleh melakukannya.

Sediakan satu produk maklumat langkah demi langkah bagaimana melakukannya dan gunakan gambar-gambar bagi menunjukkan lagkah-langkah tersebut. Teknik ini adalah kesinambungan teknik pertama yang saya telah bincangkan tadi bahawa melakukan penambaikkan terhadap kelebihan yang sedikit yang terdapat pada diri sendiri.

Teknik yang sama boleh digunakan bagi berbagai bidang2 yang lain … dengan cara ini bukan sahaja anda mampu mengeluarkan produk yang bermutu tinggi tetapi anda juga boleh menambah ilmu yang anda ada. Teknik ini jugalah yang saya gunakan bagi saya mengeluarkan produk-produk maklumat tentang ilmu-ilmu pemasaran dan jualan. Sebagai seorang pegawai pemasaran saya menggunakan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada dan tambahkannya dengan maklumat-maklumat dari jutawan-jutawan maklumat yang lain.

Jadi kesimpulannya pilihlah topik mengikut apa yang anda ada, apa yang anda ketahui dan rajinlah membuat kajian dari sumber-sumber yang betul dan ingatlah membaca adalah jalan permulaan menjana wang anda.

Jadi inilah antara teknik-teknik yang saya gunakan bagi menghasilkan produk2 maklumat saya. Saya akan menyimpan segala maklumat2 yang saya perolehi dan simpankan di dalam fail supaya senang untuk saya membuat rujukan apabila diperlukan.



Apa Komen Anda?

Tiada ulasan: