Selasa, 19 Ogos 2008

Kenapa Anda Harus Menjalankan Perniagaan Menjual Produk Maklumat ?

Dari contoh kisah Joe Krabo sebelum ini, beliau menjadi jutawan selepas menjual produk maklumat ketika beliau di dalam keadaan terdesak mengharungi kehidupan susah dan akibat dari penyakit yang beliau hadapi.

Dengan pemikiran yang kreatif beliau berjaya menyelesaikan masalah beliau. Oleh itu samada anda , Joe Krabo dan saya boleh dikatakan kita semua adalah mereka-mereka yang terdesak dalam mengharungi kehidupan ini.

Berikut adalah beberapa sebab kenapa anda dan saya patut memilih produk maklumat untuk dijadikan produk jualan perniagaan anda.

1. Permintaan yang tinggi

Setiap hari maklumat diperdagangkan. Tanpa maklumat maka pincanglah kehidupan manusia. Maklumat boleh memudahkan perjalanan kehidupan manusia. Contohnya, katakan anda memandu kereta setiap hari untuk ke tempat kerja anda. Setiap hari juga anda terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas tidak kira samada sewaktu pergi kerja mahupun pulang dari kerja.

Bagi anda yang sering mengalami masalah lalu lintas ini menjadi tekanan kepada anda. Tiba-tiba rakan anda datang pada anda dan beliau pun bertanya “Mahu tak kalau saya tunjukkan satu jalan yang tiada kesesakan dan tiada bayaran tol. Tak ramai yang tahu jalan ini. Kalau nak mari ikut saya…”

Rasa-rasanya mahukah anda untuk mengetahui jalan tersebut pada waktu sama anda rasa tertekan mengikut jalan sesak yang biasa anda tempuh. Rugilah kalau tak tahu… sudahlah jalan tak sesak dan tidak kena tol pulak tu.

Begitulah juga dengan produk maklumat ini. Di zaman yang kompleks ini manusia menghadapi pelbagai masalah, rintangan dan keperluan yang harus dipenuhi. Jika anda ada produk-produk maklumat yang mampu memberi jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah serta keinginan terhadap keperluan-keperluan tersebut ia pasti mempunyai permintaan yang tinggi.
Sebagai contoh salah satu masalah yang dihadapi oleh hampir seluruh penduduk dunia adalah WANG. Jadi produk-produk maklumat yang berkaitan dengan wang menjadi rebutan kerana masing-masing inginkan wang yang lebih.

2. Dengan bekerja sekali sahaja mendapat pulangan berterusan

Setelah anda menyiapkan produk maklumat tersebut anda tidak perlu untuk menulis topik yang sama lagi tetapi hanya memasarkan produk tersebut mengikut sistem pemasaran yang mudah, murah dan berkesan.

Apakah anda perlu menulis produk yang sama setiap hari? TIDAK..! Sama sekali tidak… Hanya orang bodoh… hmmm… maksud saya kurang bijak sahaja yang berbuat begitu. Dan jika anda mempunyai sistem pemasaran yang berkesan anda hanya boleh menguruskannya hanya dari rumah anda.

3. Mudah untuk dikeluarkan / dihasilkan

Hampir semua orang boleh mengeluarkan produk maklumat. Namun apa yang membezakan dari satu produk ke satu produk adalah kualiti isi serta nilai nyata maklumat tersebut. Untuk menulis produk maklumat tidaklah serumit menulis penulisan novel atau penulisan-penulisan fiksyen yang lain. Kerana ia memerlukan teknik penulisan kreatif dan harus bermain dengan emosi pembaca.

Buku panduan pada asasnya sangat mudah untuk dibina. Katakan anda tahu proses untuk membaiki atau menyelenggara penyaman udara rumah anda. Apa yang perlu anda buat adalah menyenaraikan langkah demi langkah mengikut turutan apa yang perlu dibuat untuk menyelenggara penyaman udara di rumah anda.

Dari setiap langkah tersebut anda kembangkan mungkin menjadi satu atau dua perenggan atau satu bab jika boleh. Dari mula proses hinggalah ke akhir proses anda tukarkan dalam bentuk tulisan yang mampu memberi panduan pada orang lain. Nah… anda sudah ada satu produk maklumat. Begitu juga jika anda tahu bagaimana membuat cambahan pokok bunga. Ceritakan dalam bentuk langkah demi langkah. Inilah contoh mudah yang boleh saya berikan.

4. Risiko kerugian yang rendah

Dalam menjalankan perniagaan anda ini modal pertama anda dalam mengeluarkan produk maklumat ini adalah maklumat yang terkandung di pemikiran anda tersebut. Inilah satu nikmat kurniaan tuhan yang tidak ternilai jika ingin diukur dengan apa saja.

Anda boleh samada menggunakan pen dan kertas untuk menghasilkan tulisan anda atau jika ada komputer peribadi anda boleh taipkan maklumat-maklumat yang ingin anda tukarkan kepada produk.

Jika anda tiada komputer anda boleh mengupah orang untuk taipkan semula tulisan anda. Apa yang telah saya lakukan dahulu sebelum saya memiliki komputer saya akan pecahkan hasil tulisan saya itu kepada 3 ke 5 bahagian dan mengupah 3 ke 5 orang yang berbeza. Dengan cara ini buku yang ingin saya hasilkan mengambil masa yang pendek untuk disiapkan kerana masa adalah kos.

Jika anda sendiri yang terbitkan serta pasarkan produk anda dan katakan pasaran anda tidak menjadi, mungkin kerana produk yang anda hasilkan tiada pasarannya atau mungkin usaha pengiklanan dan pemasaran anda tidak berkesan, risiko kerugian anda amatlah kecil. Apa yang telah anda belanjakan hanyalah kos pengiklanan dan pemasaran. Anda belum lagi menanggung kos pengeluaran produk.

Bagaimana ini boleh berlaku? Anda boleh gunakan sistem ‘Publish On Demand’ bermaksud cetak atau hasilkan produk atas permintaan (bayaran). Di sini anda akan dapatkan pesanan dahulu bermaksud dapatkan wang dari pelanggan dahulu barulah anda hasilkan dan buat penghantaran produk.

5. ‘Publish On Demand’

Saya masih ingat beberapa tahun yang lepas laporan pertama yang saya pasarkan bertajuk “Bagaimana Menjana Pendapatan Dari Kemahiran Seni Mempertahankan Diri Anda Tanpa Membuka Gelanggang Dan Beradu Tenaga”. Satu laporan yang hanya mempunyai 12 mukasurat dan dijual dengan harga RM9.00 ketika itu.

Saya memilih tajuk ini kerana seni mempertahankan diri adalah minat utama saya walaupun saya bukan pakar dalam bidang ini. Saya telah membuat iklan di dalam sebuah majalah seni mempertahankan diri. Apabila saya mendapat pesanan saya akan ambil salinan asal laporan tersebut yang saya simpan baik di dalam sarung plastik dimana saya letakkan di dalam laci almari saya.

Saya pergi ke kedai fotostat dan saya fotostatkan laporan tersebut mengikut berapa pesanan yang saya dapat. Saya tidak perlu mengeluarkan duit sendiri untuk urusan fotostat kerana saya telah mendapat bayaran terlebih dahulu. Setelah itu saya poskan salinan laporan tersebut kepada pelanggan yang telah memesan dimana saya stapelkan di hujung atas laporan tersebut.

Jadi inilah kelebihan perniagaan ini dimana saya hanya membuat salinan dari produk yang telah siap dimana kos untuk fotostat dan pos telah saya terima dari wang yang dibayar pelanggan semasa membuat pasaran. Bayar dahulu dapat kemudian. Jadi mana anda boleh dapat perniagaan seuntung begini? Ambil perhatian bahawa dengan harga RM9.00 saya hanya mengeluarkan kos sebanyak RM2 sahaja. Keuntungan lebih 300%.

Jadi atas alasan-alasan inilah saya boleh katakan bahaw maklumat sangat sesuai untuk dijadikan satu produk untuk menjalankan perniagaan yang berkos rendah tapi memberi pulangan yang lumaya. Apa yang perlu lakukan sekarang adalah pelajari dahulu ilmu2 yang berkaitan dengan perniagaan produk maklumat ini.

Tiada ulasan: