Isnin, 16 November 2009

Kesannya bila senjata ampuh disalah gunakan…. (Bahagian 1)

Pada awal pembabitan saya dalam bidang penulisan surat jualan dan pemasaran informasi saya amat teruja dengan kuasa penulisan surat jualan yang mampu dijadikan sebagai senjata yang paling ampuh untuk menjual. Apa tidaknya saya mampu menjual tanpa jumpa orang, saya mampu menjual walaupun orang tak tengok produk lagi, saya mampu menjual tanpa banyak bergerak dan banyak lagi faedah.

Dan satu perkara yang membuat saya teruja dengan penulisan surat jualan adalah bagaimana menggunakan kuasa penulisan surat jualan mampu menyentuh emosi pembaca untuk terus membeli.

Saya juga pernah menjual produk-produk informasi orang lain ( produk yang diberi hak jual semula) dan menulis sendiri surat-surat jualan secara offline. Dengan menulis tulisan surat jualan yang menjual harapan tinggi kepada pembaca saya berjaya menghasilkan jualan. Saya lakukan ini kerana inilah yang saya pelajari dari produk-produk informasi yang telah saya perolehi dari surat-surat jualan yang saya terima. KUNCI nya adalah jual TAJUK yang mampu memberi harapan tinggi kepada pembaca sasaran dan ajar pembeli untuk lakukan perkara yang sama.

Oleh kerana itulah dalam masa tidak sampai setahun saya menjalankannya secara sambilan saya ambil keputusan untuk berhenti dan mendiamkan diri dari pasaran offline. Dari situ saya mula berjinak-jinak mempelajari bagaimana untuk menulis buku bagi menghasilkan sesuatu yang berguna untuk orang ramai.

Kenapa ini berlaku pada saya? Walaupun saya tidak pernah menerima satu pun ‘complain’ tentang produk yang saya jual namun saya mula rasa bersalah kerana ilmu yang saya amalkan bukan sesuatu yang beretika pada saya. Saya sendiri pernah kecewa apabila memperolehi produk-produk informasi yang yang tak serupa bikin seperti apa yang telah diwar-war dan dijanjikan dalam surat jualan dan saya mula berfikir jika saya tak puas hati dengan senario tersebut kenapa saya harus melakukan perkara yang sama?

Dari situ saya mula membuat kajian bagaimana saya boleh menulis surat jualan yang mampu menyentuh emosi pembaca tanpa berlaku apa pun jenis penipuan serta mampu mengelak penulisan yang hanya menjual harapan tinggi kepada pembaca. Dengan kata lain saya mampu menyampaikan mesej jualan saya dengan cara yang lebih beretika.

Pisau. Mempunyai pelbagai tugas memotong. Potong sayur, ikan, daging, buah dan sebagainya. Namun dengan pisau juga mampu meragut nyawa manusia. Apakah pisau yang bersalah kerana memiliki mata yang tajam atau adakah sipemegang pisau yang menyalah gunakan ketajaman pisau tersebut?

Tidak salah untuk memberi pengharapan yang tinggi kepada pembaca namun adakah produk kita mampu menanggung janji yang telah kita letakkan. Seekor itik tidak mampu untuk mengaum seperti seekor singa. Dan jangan kita mengaum dalam surat jualan kita jika kita sendiri tidak mampu untuk menghasilkan bunyi ngauman tersebut.

Tiada ulasan: